Wednesday, August 12, 2009

Satu Malaysia


1. Konsep ‘SATU MALAYSIA’ yang di perkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak merupakan pendekatan yang ingin dibawa beliau untuk mencapai matlamat sebuah negara bangsa Malaysia. Pengenalan konsep ini turut selaras dengan matlamat pimpinan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan konsep ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ serta konsep ‘Kerja Dengan Saya Bukan Untuk Saya’ yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

2. Pragmatik yang baru iaitu ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kerana beliau melihat bahawa peri pentingnya bangsa Malaysia untuk masa depan Negara.

3. Konsep ‘Satu Malaysia’ juga dilihat sebagai konsep yang mudah difahami oleh rakyat. Konsep ini juga membayangkan satu negara, satu hati dan konsep ini akan membawa manfaat kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

4. ‘Satu Malaysia’ juga memberi pengertian bahawa perlunya kewujudan semangat kekitaan, kepunyaan, persaudaraan dan keakraban dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.

5. Perpaduan bukannya bererti kesamaan semua orang (unity is not uniformity). Impian yang tersirat di bawah konsep ‘Satu Malaysia’ ialah suatu harapan untuk mencapai titik pertemuan dalam perbezaan dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia ini. Titik pertemuan inilah merupakan kunci kepada perpaduan.

6. Sejak merdeka hingga kini Malaysia mengamalkan integrasi dan bukannya asimilasi seperti Thailand dan Indonesia. Semua harus menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama, maka perpaduan perlu dibentuk dalam kepelbagaian (unity in diversity) melalui integrasi.

7. Konsep ‘Satu Malaysia’ ini turut bererti bahawa tidak akan ada kaum yang akan terpinggir dari arus pembangunan negara.

8. Konsep ‘Satu Malaysia’ ini membayangkan hasrat YAB Perdana Menteri benar-benar menumpukan dan mengutamakan aspek bagaimana untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

9. Untuk merealisasikan matlamat ‘Satu Malaysia’ ia amat bergantung kepada sikap rakyat iaitu sikap hormat menghormati dan memahami antara satu sama lain. Ketiadaan sikap ini dilihat sebagai halangan besar kepada konsep ‘Satu Malaysia’.

No comments:

Post a Comment