Thursday, October 22, 2009

Konsep 1 Malaysia

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 malaysia "Rakyat Didahulukan, PEncapaian Diutamakan lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan PErlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan.

1 Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu dan ini dimulakan dengan membentuk sikap epnerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Hubungan Konsep 1 Malaysia dengan Dasar-Dasar Kerajaan Terdahulu

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan Konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah kesinambungan daripada dasar-dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diuatamakan, merupakan satu usaha yang telah alama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh PErdana Menteri-PErdana Menteri seterusnya. Setiap PErdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

Wednesday, October 21, 2009

1 Malaysia

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak:
"Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk emnolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama".

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut:
1. Konsep 1 Malaysia menuntut semua warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.

"Kita berdiri dan bertindak sebagai bangsa Malaysia" memberi maksud bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum m,asing-masing. Mereka juga perlu melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

2. Justeru, bangsa melayu sebagai contoh, tidak wajar hanya berfikir dalam skop bangsanya sahaja. Mereka juga diminta tidak perlu hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaj. Demikianlah juga dengan kaum-kaum lain, mereka perlu melakukan perkara yang sama.

3. Sementara ayat " dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita" lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. perenggan ini bermaksud kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hjak rakyat tanpa mengira kaum dan agama di Malaysia.

4. Nilai tambah dan pembaharuan dalam konsep 1 Malaysia.
"Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita" telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

5. Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

Monday, August 31, 2009

Tazkirah Ramadhan : Istiqamah Dalam Ibadah Harian?


Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus (Siratol Mustaqim), iaitu jalan yang lurus tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan Allah SWT..Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah, kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah, tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang muslim.


Istiqamah atau boleh juga disebut makna yang hampir dengannya iaitu iltizam (komited) dengan Islam yang membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta.


Dengan kata lain, istiqamah itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia.


Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beristiqamah dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat tanpa terikat kepada musim tertentu, sebagai contoh, seorang muslim yang beristiqamah tidak menunggu untuk ke rumah pada bulan Ramadan, malah setiap bulan itu adalah bulan yang dikhususkan untuknya beribadat kepada Allah.


Begitu juga dengan amal ibadat di bulan Ramadan, bukan hanya pada awalnya saf-saf solat dipenuhi dengan para jemaah, tetapi pada pertengahan dan penghujung Ramadan sepi dengan orang yang sama memenuhi ruang-ruang masjid atau surau sebelum dan selepas Ramadan, yang tidak beristiqamah akan merasa gelisah dengan Ramadan lambat untuk melabuhkan tirainya, sikap seumpama ini tidak pernah wujud dalam diri para sahabat baginda Rasulullah s.a.w.


Semakin hampir menjelang Aidil Fitri, semakin gelisah dan jelas tergambar di raut wajah mereka kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan mereka, peluang untuk memperolehi bonus amalan di malam-malam terakhir yang terdapat padanya Lailatul Qadr sudah sampai ke penghujungnya, terdapat di antara mereka yang menangis kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya.Peluang yang ada pada malam-malam terakhir Ramadan, diisi dengan aktiviti pengabdian diri kepada Allah SWT seperti Qiyamullail meliputi pelbagai jenis solat, tadarus al-Quran meliputi diskusi isi-isi kandungannya, beriktikaf, berzikir dan bermacam-macam lagi tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai manusia biasa di siang hari.


Persoalannya di sini, di mana diri kita dengan para sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka telah buktikan istiqamah yang mantap dan menyeluruh bagi meraih keredaan, kita pula bagaimana?


Tanda atau bukti istiqamah

*Bukti istiqamah itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An’am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”.

*Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku”.

*Selain itu, istiqamah juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka”.


Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beristiqamah dengan amalan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam.


Penjelasan tanda beistiqamah dengan IslamPara ulama’ bersepakat mengatakan bahawa, istiqamah itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin.Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain.


Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beristiqamah dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi.


Justeru menurut para ulama’, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.


Jalan terbaik untuk mengekalkan istiqamah dengan Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas”.Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.

Tips di Bazar Ramdan









Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi bersama para pembaca . Sesuai untuk sesiapa yang ingin menceburi bidang bisnes bazar Ramadhan, juga kepada para pengunjung-pengunju ng bazar.


  1. Hari pertama bazar Ramadhan, selalunya ia penuh sesak. Para peniaga selalunya akan untung besar pada hari pertama dan jualan mereka habis licin.
    Jadi, jika pertama kali berniaga di bazar Ramadhan, jangan menggunakan indikasi jualan hari pertama sebagai petunjuk hari-hari seterusnya. Seeloknya, kurangkan jumlah jualan pada hari-hari seterusnya.

  2. Berhati-hati jika hari hujan. Selalunya barang jualan tidak habis dijual, kerana pengunjung tidak ramai dan orang kebanyakannya malas untuk keluar rumah. Jadi para peniaga akan ”menyimpan” untuk dijual keesokan harinya.
    Jadi, jika semalam hujan, para pengunjung bazar perlu berhati-hati membeli makanan agar tidak terbeli makanan semalam yang ”dikitar semula”.

  3. Sesekali datanglah bazar Ramadhan pada waktu-waktu hampir berbuka untuk melihat mana-mana peniaga yang tidak habis barang jualan mereka. Selalunya (tidak semua), mereka akan membuat kitaran semula kepada barang-barang jualan mereka. Namun ramai juga peniaga yang bersifat jujur tidak melakukannya.

  4. Pada bulan Ramadhan, antara makanan yang paling digemari adalah martabak. Bahan utama membuat martabak adalah telur. Jadi pilihlah martabak yang dimasak dengan menggunakan telur yang sudah dibasuh. Cara untuk memilih martabak yang sudah dibasuh ataupun tidak adalah dengan cara melihat bagaimana telur-telur tersebut diletak. Jika ia masih diletak di dalam bekas telur, selalunya ia masih belum dibasuh. Jika ia sudah dipindahkan ke dalam bekas lain, selalunya ia sudah dibasuh.

    Gambar hiasan
    Tip di atas juga sesuai untuk makanan-makanan yang menggunakan telur sebagai bahan, namun agar sukar sekiranya makanan tersebut telah siap dimasak.
    Lihat gambar-gambar di bawah untuk membezakan telur yang masih berada di dalam bekasnya dengan yang sudah dipindahkan ke dalam bekas lain;


    Telur masih berada di dalam bekas asalnya.

    Telur yang sudah dipindahkan ke dalam bekas lain

    Telur ini juga sudah dipindahkan


  5. Yang ni siap ada sign-board lagi! “TELOR INI TELAH DIBASUH”
    Minuman yang popular di bulan puasa juga adalah air soya. Kualiti air soya dibezakan dengan kepekatannya. Seeloknya belilah air soya yang masih panas berbanding dengan yang telah dicampur air batu, kerana ia lebih segar dan pekat. Jika hendakkan yang sejuk, tambah sahaja dengan air batu.

  6. Jika kita membeli pada waktu hampir-hampir dengan waktu berbuka, selalunya peniaga akan memberikan lebih daripada yang dibeli. Ia bagi menghabiskan stok-stok makanan yang telah dimasak tetapi tidak terjual. Jadi, sesekali, datanglah pada waktu tersebut. Untung-untung, dapat simpan untuk sahur keesokan harinya.

  7. Antara persediaan pada hari raya adalah kuah raya. Jangan membeli kuih raya pada minggu-minggu awal bulan Ramadhan. Sebaliknya tunggu selepas masuk minggu-minggu terakhir kerana pada waktu ini harga kuih raya akan jatuh secara beransur-ansur.
    Harga kuih raya akan jatuh pada lebih-lebih lagi pada hari-hari terakhir bulan puasa. Kenapa? Kerana tiada siapa yang akan membeli kuih raya selepas masuk bulan Syawal! Jadi, semua stok perlu dihabiskan segera.

Sunday, August 30, 2009

PUASA BUKAN ALASAN UNTUK TIDAK MAKAN SECARA SIHAT

Artikel dari Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Ramadhan menjelma lagi. Apa yang terbayang di kotak fikiran kita tidak lain dan tidak bukan ialah kemeriahan pasar atau bazar Ramadhan. Ia seakan-akan pesta menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk serta minuman yang disediakan khusus buat juadah berbuka. Setelah seharian berpuasa, pastinya pelbagai juadah akan dibeli apabila berkunjung ke pasar atau bazar Ramadhan ini. Pada masa ini, apa saja yang teringin pasti akan dibeli tanpa memikirkan adakah kita mampu untuk makan kesemua makanan tersebut. Apa yang paling penting, rata-rata antara kita mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana berpuasa.

Kenapa perlu makan secara sihat pada bulan Ramadhan ?

Makan secara sihat perlu dijadikan amalan setiap masa. Ini lebih-lebih lagi semasa menjalani ibadah puasa. Ini adalah penting untuk mengelak beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya. Sekiranya masalah ini berlaku pastinya ia boleh mengganggu seseorang itu berpuasa dengan selesa dan menghayati fadhilat di bulan Ramadhan.

Amalan pemakanan sihat di bulan Ramadhan

Kunci kepada amalan makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang perlu diamalkan walaupun di bulan puasa. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain daripada itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.

Berbuka puasa

Kebanyakan daripada kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah untuk berbuka puasa. Apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu sebaik sahaja berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.
Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Secara ideal, diet semasa berbuka puasa adalah seperti berikut :

Berbuka

3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur dan 1 keping kuih.
Makan malam
11/2 cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.
Makan lewat malam (moreh)
Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic kacang atau buah-buahan.
Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada perut anda di siang hari. Manakala, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi pula boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
Sahur

Amalan bersahur adalah penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu Subuh. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan. Ini kerana tenaga yang diambil daripada makanan sebelum tidur akan disimpan di dalam badan sebagai lemak.

Semasa bersahur , adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur.

Ramadhan merupakan satu peluang untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang bermasalah. Apa yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan tinggi gula. Beri perhatian juga pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana selagi ia tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan pengambilan nutrien. Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
sumber rujukan : www.pesima.net - Portal Rasmi Persatuan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Sektor Awam, Malaysia
-=mnnama=-

Monday, August 24, 2009

Tahukah Anda Simptom-Simptom Selsema Babi atau H1N1 ?

Apakah Selesema Babi?
Selesema babi adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.

Apakah Tanda-tanda dan Simptom Demam Babi Terhadap Manusia?
Simptom selesema babi ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit

Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.

Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

* Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.
* Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.
* Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.
* Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Jika anda sakit anda perlu:-
* Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
* Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.

Wednesday, August 12, 2009

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan

PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN

Pada tahun ini, pertandingan Program Pengisahan Peringkat Negeri Johor telah diadakan di Dewan Kembara Mahkota Johor, Kolej Kejururawatan Segamat pada 30hb Mei 2009 (Sabtu).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.B Datuk S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia. Pertandingan pengisahan pada tahun ini daidakan secara berkumpulan. Seramai 400 orang penonton telah hadir menyaksikan pertandingan tersebut dan sebanyak 5 pasukan telah bertanding mempersembahkan persembahan masing-masing. Johan pertandingan ialah pasukan dari daerah Ledang yang telah mempersembahkan Kisah Bukit Kepong. Melalui pertandingan pengisahan ini, pihak jabatan telah menyampaikan mesej kerajaan dengan baik melalui ucapan yang telah disampaikan oleh Y.B Datuk S. Subramaniam dan Pengarah Penerangan Johor, Tuan Haji Almain bin Ajirul. Semua persembahan yang telah disampaikan oleh pasukan yang bertanding juga mempunyai mesej tersendiri iaitu untuk meningkatkan semangat patriotisme dan kenegaraan kepada semua. Para petugas dan anggota Jabatan yang turut serta pada majlis tersebut telah mengadakan komunikasi bersemuka dengan orang ramai secara efektif.



Pasukan dari daerah Ledang iaitu KB Durian Condong telah mewakili negeri Johor ke Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di Jitra, Kedah dan telah menjadi johan keseluruhan. Peserta yang mewakili pertandingan tersebut ialah Rohaina Sulaiman, Shamsul Saziman Abdul Razak dan Radin Azman Hanafi.

Khemah Kerja Kelab Setia

PROGRAM KHEMAH KERJA KELAB SETIA JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, NEGERI JOHOR

Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Johor melalui Cawangan Gerak Saraf dan Pangurusan Isu, (GSPI) telah berjaya melaksanakan 2 program Khemah Kerja Kelab Setia iaitu: OBJEKTIF i. Melatih dan mendidik generasi muda kepada ketahanan diri dan cinta kepada negara. ii. Memupuk semangat kerjasama, gotong royong di kalangan masyarakat. iii. Memupuk minat masyarakat agar setia, mesra, harmoni sesama ahli masyarakat. iv. Menanamkan sikap rela berkorban demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara. v. Menjalin semangat kekitaan dan setiakawan dalam masyarakat.

TEMA 1 Malaysia :

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan Peserta Program Khemah Kerja adalah daripada kalangan pelajar-pelajar sekolah dari daerah yang dipilih. Program ini telah dilaksanakan selama tiga hari dua malam.



Khemah Kerja Kelab Setia Daerah Kulaijaya

Tempat : Sedeli Damai Resort, Kota Tinggi, Johor
Tarikh : 24hb – 26hb Julai 2009
Peserta : Ahli Kelab Setia Daerah Kulaijaya seramai 40 orang




Khemah Kerja Kelab Setia Daerah Mersing dan Pontian

Tempat : NERC, Taman Negara Endau Rompin, Pahang
Tarikh : 7hb – 10hb Ogos 2009
Peserta : Ahli Kelab Setia Daerah Pontian dan Mersing seramai 60 orang

PEWARIS MUDA NEGARA

PROGRAM BERSAMA PEWARIS MUDA NEGARA
JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, NEGERI JOHOR



1.0 PENGENALAN


1.1 Program ini merupakan salah satu pengisian Program Penjanaan Minda Rakyat (PMR) iaitu satu strategi Jabatan untuk membentuk pewaris muda negara yang bermodal insan cemerlang dan mengambilkira kepentingan “stake-holder” dalam jangka masa panjang.

1.2 Program “Bersama Pewaris Muda Negara” merupakan program secara smart partnership antara Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Johor melalui Cawangan Geraksaraf dan Pengurusan Isu dengan IPTA/IPTS serta Komuniti Bestari.

1.3 Jabatan Penerangan Malaysia merupakan agensi yang bertanggung-jawab memasar serta menyalurkan maklumat serta dasar-dasar dan kempen-kempen semasa kerajaan kepada masyarakat umum. Menyedari peranan ini, maka perkongsian perlaksanaan program nanti akan dapat merealisasikan adunan teori (universiti) dan praktikal (jabatan) bagaimana proses komunikasi berkesan dapat dijalankan dan diamalkan oleh komunikator (peserta).

2.0 RASIONAL DAN OBJEKTIF
Program ini dapat membantu mahasiswa yang merupakan pewaris muda negara mendalami kaedah dan cara-cara pengamalan komunikasi berkesan di samping mendedahkan mahasiswa kepada masyarakat umum. Antara objektif program adalah seperti berikut:

2.1 Mewujudkan satu perkongsian pintar antara IPTA/IPTS dan Jabatan Penerangan Malaysia serta Komuniti Bestari ke arah merealisasikan hasrat kerajaan kepada kehendak masyarakat.

2.2 Menjalinkan hubungan mesra antara anggota Jabatan, mahasiswa dengan keluarga angkat dan melatih mahasiswa ke arah pembentukan mahasiswa yang mempunyai jatidiri dan semangat kekitaan.


2.3 Meningkatkan kerjasama dan integrasi kaum antara anggota Jabatan, mahasiswa dan masyarakat tempatan serta memupuk nilai-nilai murni ke arah perpaduan nasional.

2.4 Melatih mahasiswa mengenai kaedah pengamalan komunikasi berkesan agar dapat melahirkan mahasiswa (pewaris negara) yang berwibawa, cintakan negara dan informatif sesuai dengan agenda nasional untuk melahirkan rakyat yang bermentaliti kelas pertama.


2.5 Menjadikan program Bersama Pewaris Muda Negara platform untuk mengenegahkan dasar-dasar kerajaan secara ”subtle” kepada mahasiswa sebagai pelapis pemimpin masyarakat.

2.6 Sebagai satu usaha terancang untuk mendedahkan pewaris muda negara terhadap agenda negara dan prospek Komuniti Bestari sebagai salah satu apparatus Jabatan dalam memenuhi peranan dan fungsi Jabatan Penerangan Malaysia.

2.7 Meningkatkan penglibatan masyarakat luar bandar menerusi program bersama pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi.


2.8 Memberikan pendedahan dan pengalaman sosial kemasyarakatan dasar dan akar umbi kepada golongan mahasiswa.


Pada tahun 2009 ini, Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JPNJ telah berjaya melaksanakan 4 Program Pewaris Muda Negara :

Pada 12hb – 16hb Mei 2009
Tempat : Pusat Rekreasi Tampok Laut, Benut, Pontian
Peserta : Pelajar UUM


Pada 22hb – 24hb Mei 2009
Tempat : KB Mukim Endau, Kampung Semanyir, Mersing
Peserta : Pelajar ILP, Tangkak

Pada 29hb – 30hb Mei 2009
Tempat : Nasuha Herba dan Rempah Karya Sari, Pagoh, Muar
Peserta : Anak-Anak PUSPANITA, Jabatan Penerangan Malaysia


Pada 26hb – 28hb Jun 2009
Tempat : KB Kampung Jayor, Pagoh, Muar
Peserta : Pelajar USM





Satu Malaysia


1. Konsep ‘SATU MALAYSIA’ yang di perkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak merupakan pendekatan yang ingin dibawa beliau untuk mencapai matlamat sebuah negara bangsa Malaysia. Pengenalan konsep ini turut selaras dengan matlamat pimpinan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan konsep ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ serta konsep ‘Kerja Dengan Saya Bukan Untuk Saya’ yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

2. Pragmatik yang baru iaitu ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kerana beliau melihat bahawa peri pentingnya bangsa Malaysia untuk masa depan Negara.

3. Konsep ‘Satu Malaysia’ juga dilihat sebagai konsep yang mudah difahami oleh rakyat. Konsep ini juga membayangkan satu negara, satu hati dan konsep ini akan membawa manfaat kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

4. ‘Satu Malaysia’ juga memberi pengertian bahawa perlunya kewujudan semangat kekitaan, kepunyaan, persaudaraan dan keakraban dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.

5. Perpaduan bukannya bererti kesamaan semua orang (unity is not uniformity). Impian yang tersirat di bawah konsep ‘Satu Malaysia’ ialah suatu harapan untuk mencapai titik pertemuan dalam perbezaan dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia ini. Titik pertemuan inilah merupakan kunci kepada perpaduan.

6. Sejak merdeka hingga kini Malaysia mengamalkan integrasi dan bukannya asimilasi seperti Thailand dan Indonesia. Semua harus menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama, maka perpaduan perlu dibentuk dalam kepelbagaian (unity in diversity) melalui integrasi.

7. Konsep ‘Satu Malaysia’ ini turut bererti bahawa tidak akan ada kaum yang akan terpinggir dari arus pembangunan negara.

8. Konsep ‘Satu Malaysia’ ini membayangkan hasrat YAB Perdana Menteri benar-benar menumpukan dan mengutamakan aspek bagaimana untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

9. Untuk merealisasikan matlamat ‘Satu Malaysia’ ia amat bergantung kepada sikap rakyat iaitu sikap hormat menghormati dan memahami antara satu sama lain. Ketiadaan sikap ini dilihat sebagai halangan besar kepada konsep ‘Satu Malaysia’.